Apr 27, 2009

Bacaan Tahiyat Akhir

Bacaan tahiyat akhir merupakan salah satu daripada rukun solat. Untuk mendapatkan khusyuk, eloklah kita memahami sedalamnya bacaan tersebut.

Merujuk kepada kitab Minhajissalam, 'at-tahiyat' bermaksud pembesaran atau penghormatan, 'al-mubarakat' bermakna kebajikan yang bertambah-tambah, 'as-solawat' yakni solat lima waktu dan 'at-toyyibat' iaitu amal-amal yang soleh. Dalam bacaan kita, "attahiyyatul mubarakatus solawatut toyibat lillah". Jadi maknanya segala pembesaran/penghormatan, kebajikan yang bertambah, solat fardhu lima waktu dan segala amal soleh untuk siapa? LILLAH, untuk ALLAH.

Kemudian, "assalamualaika ayyuhan nabiyyu warahmatullahi wabarakutuh", sejahteralah kamu wahai nabi (Muhammad s.a.w). Kalau kita tengok balik, mengapa kita kata 'assalamualaika'? 'Ka' ini bermaksud kamu iaitu kena ada dua orang saling bercakap, kalau tak, mana boleh guna 'ka'. Tapi, hakikatnya kita baca seorang diri. Maknanya, kita kena anggap nabi kita iaitu Nabi Muhammad sedang berada di depan kita.
Kemudian, "assalamualaina wa'ala i'badillahis solihin", sejahteralah kami dan ke atas semua hambaMu yang soleh. 'Assalamualaina', 'na' di sini bermaksud segala anggota badan kita, mata, tangan, kaki, telinga dan sebagainya. Maknanya, sejahteralah atas segala anggota badan kami. 'Wa'ala i'badillahis solihin', sejahteralah ke atas SEMUA hambaMu yang soleh. Kita orang Islam tak boleh berpecah-belah, tak boleh dengki-mendengki, kita kena saling bersatu, sebab kita berdoa dalam tahiyat akhir.

Kemudian, kita mengucapkan kalimah syahadah. Semasa kita mengangkat jari, seeloknya kita tengok jari kita itu. Satu jari itu menunjukkan Allah Yang Satu, Allah Yang Esa. Itulah bacaan tahiyat akhir yang perlu kita faham betul-betul supaya lahir khusyuk dalam solat kita. Wallahua'lam.

1 comment:

  1. owh, x tau lak kene tgk jari time tahyat, haha

    ReplyDelete